Monday, January 19, 2009

Muhasabah Diri.

Assalamualiakum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh.

Seketika mencari ketenangan dan merawat hati. Bermenung sendirian di Masjid dan bermuhasabah diri. Usia sehari ke sehari semakin bertambah. Mengukur kematangan diri dan kerja buat diri adakah berada atas landasan kebenaran atau kebatilan. Terkadang sayu dan terkadang fikiran terlontar entah ke mana. Pergerakan bertambah perlahan. sambil-sambil mencari di manakah penyakit diri dan bagaimanakah untuk mengatasi. Ingin keluar dari sikap syok sendiri dan sikap tidak mahu berubah.

Pesan seorang teman tidak boleh dilupakan: Jagalah hak Allah nescaya Allah akan menjaga hak kamu. Betul benar! seringkali diri terleka dan terlalai dalam menjalani kewajipan. Ada perkara-perkara penting dalam kehidupan belum terjaga sepenuhnya. Soal ibadatnya; muamalah dengan Tuhan sering tercedera. Patutlah muamalat dengan manusia seringkali tidak menentu. Kita menjadi mudah berasa hati dengan tutur bicara orang lain, orang sudah berani merendah-rendahkan orang lain, rasa hormat kurang dan manusia sudah berani membicarakan keburukan kita dan menyebarkannya kepada orang lain.

Fitnah.

Segala kesedihan hanya tersimpan di dalam dada. Hanya Tuhan yang memahami.Bersabarlah! Ingin saya sebutkan sedikit tentang budaya fitnah di kalangan orang Melayu kita. Mengapakah kita suka membawa fitnah ke mana-mana? Apakah keuntungan dan bayaran harga sekeping fitnah yang dibuat? Sedihnya..

Sesuatu berita itu perlu diselidiki benar atau salahnya. Yang sedihnya kita percaya bulat-bulat dengan apa yang disampaikan oleh orang tertentu.Fikirkan dahulu siapa dia yang berikan maklumat itu. Adakah kerana dia merupakan orang yang kita hormati lantas kita percaya seratus peratus. Tidak malukah kita? Dalam hal fitnah ini juga sifat fanatik dan taksub kepada pihak tertentu juga menjadi faktor penyebab. Sungguh bahaya jika sikap taksub dan fanatik ini menjadi darah daging kita yang menyebabkan kita tidak dapat menerima nasihat dan pandangan daripada orang lain. Islamikkah sifat ini?

Fitnah yang melanda akan menyebabkan pihak yang difitnah ditimpa sesuatu hukuman yang buruk atau kesan-kesan yang lain. Ini bukan budaya Melayu atau Islam. Tanyalah orang yang boleh kita percayai sebelum membuat sesuatu tindakan. Atau adakah kita ini tergolong daripada kalangan orang yang tidak boleh dipercayai? Masa masih ada untuk membetulkan keadaan. Sekiranya kita yang menyebarkan fitnah kitalah juga yang wajib memperbetulkan keadaan. Islam juga ada disiplinnya yang tersendiri. Kepada sahabat yang terkena fitnah bersabarlah. Ini merupakan ujian kepada anda. Pihak yang membuat dakwaan ini harus bersemuka dan berbincang dengan cara yang betul. Mungkin ada maklumat yang tidak benar atau tercicir.

Dakwah.

Semua yang mengucapkan dua kalimah syahadah maka dialah pendakwah. Dakwah bagaimanakah yang sebenarnya yang diberikan dan boleh kita berpegang. Rujuklah mereka yang selayaknya. Bukan mengikut tafsiran atau pegangan sesuatu kumpulan. Dakwah yang sebenarnya adalah berdasarkan Al Quran dan as Sunnah.Jadilah orang yang faham mengikut acuan kedua-duanya. Inilah warisan yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad Sallallahualaihi wasallam.

1 comment:

.:NurTaQwa88:. said...

assalamualaikum..subhanallah,posting ni betul2 terkesan pd ana..barakallahu fik..

jagalah hak Allah,pasti Allah akn mnjg hak kita..-inshaAllah,akan cuba pegang.-