Saturday, January 31, 2009

Cerpen Cinta dan kita.


Assalamualaikum wrth wbh. Selamat Hari Lahir buat Ustaz Din. Hari ini 20 Febuari 99 genaplah umur ust Din 20 tahun. Saya tak tahu nak bagi apa kepada ustaz sebagai hadiah tapi terimalah hadiah daripada saya. Sebagai tanda kenang-kenangan. Tapi jangan fikir yang lain pulak!
Entah mengapa. Hatiku tercuit membaca perenggan terakhir nota ringkas daripada Adilah. Kelakar. Pada waktu itu semangat muda mudah membara apatah lagi dalam usia remaja ini sentuhan daripada kaum hawa membuatkan hati berbunga-bunga.Adilah Binti Hussin ialah rakan sekuliahku di sebuah kolej pengajian Islam di ibukota, Kuala Lumpur. Aku membuka sebuah kotak kecil yang lutsinar. Ada ballpen di dalamnya. Terima kasih. Tetapi nota ringkas itu diterima 3 tahun lepas ketika mana aku di tahun satu di situ. Masih mentah lagi ketika masa itu.
_ _ _

Dalam seminggu dua ini kami sebagai mahasiswa kolej agak sibuk dengan pengajian. Jadual pengajian agak padat. Kadangkala menimbulkan stress.Beginilah dunia mahasiswa. Perlu bertungkus lumus belajar sebagai membalas jasa orang tua di kampung. Penat lelah mereka harus ditebus oleh anak-anak mereka melalui sebuah kegembiraan iaitu kejayaan. Aku harus berubah. Sikap malasku selama ini harus dijauhi. Hassanlah teman sebilikkku yang banyak membantuku dalam pembelajaran. Latar belakang keluarganya begitu mengagumkan aku. Ayah dan ibunya merupakan graduan universiti Al Azhar yang terkenal di Mesir.

Dalam meniti masa pembelajaran di sini, kami sebenarnya terlibat secara aktif dalam bidang persatuan. Bidang ini agak menyeronokkan walaupun ianya meletihkan. Kami membantu pihak kolej dalam hal kebajikan para mahasiswanya. Pengisian-pengisian yang bermanfaat diberikan kepada semua mahasiswa seperti kursus-kursus pendidikan, praktikal ibadah dan tidak lupa juga aktiviti outdoor dilakukan seperti aktiviti kemasyarakatan. Kami adakan ziarah ke rumah warga emas, anak yatim dan membuat kerja amal yang lain.

Setiap persatuan pastilah memiliki organisasinya. Kami diketuai oleh saudara Rosli, juga merupakan rakan sekuliahku. Hassan sebagai setiausahanya dan aku sebagai bendaharinya. Rosli dibantu oleh saudari Fatin. Timbalan Hassan pula ialah Adilah dan aku dibantu oleh Soraya. Dan kami semua dibantu oleh ahli-ahli jawatankuasa yang telah dilantik. Tugas ini sebenarnya agak berat. Namun aku cuba melaksanakannya semampu yang mungkin. Hasil kerjasama semua pihak kami sedikit sebanyak dapat merapatkan hubungan pihak pentadbiran dengan persatuan dan semua mahasiswa bersetuju bahawa persatuan itu adalah penting.

Segalanya bermula dengan sekejap sahaja. Urusan yang terlalu kerap dengan pihak hawa kadangkala boleh menumbuhkan bibit-bibit perasaan yang lain. Inilah yang sentiasa diberi ingatan oleh penasihat persatuan kami. Betapa pentingnya erti sebuah kesatuan dan persatuan. Dan kesatuan tak akan wujud tanpa perpaduan. Jauhkan soal hati dalam persatuan dan kehidupan. Mungkin Tuhan ingin mematangkan diriku menempuhi ujian ini. Dalam diam aku menaruh perasaan kepada Adilah. Ianya semakin kuat apabila pihak ketiga memberitahuku tentang kelebihan dan keserasiaan Adilah jika digandingkan dengan diriku.

Sepatutnya aku mengkhabarkannya kepada Rosli selaku ketua kami. Aku memberitahu kepada orang yang tidak sepatutnya. Dan akibatnya seolah-olah aku dipermainkan, dikhianati. Aku tidak dapat menduga apa yang difikirkan oleh pihak ketiga itu. Aku tahu ramai mahasiswa yang terpaut hati kepada Adilah..Dan pada akhirnya aku memberitahu hasratku kepada Rosli. Rosli terkejut. Aku tahu dalam masa yang sama juga nama Hassan seringkali disebut sebagai orang yang layak untuk Adilah. Aku bingung. Rosli hanya tersenyum. Rosli bergegas keluar. Entah ke mana tempat yang ingin dituju.
_ _ _

Perang dingin aku dan Hassan seolah-olah bermula. Kata-katanya kadangkala mengguris hati. Kiasan yang diberi cukup untuk menghukum aku. Dan nama Adilah seringkali meniti di bibirnya. Pada pendapatku Rosli lebih bersetuju jika Adilah dijodohkan dengan Hassan.. Cerita tentang Adilah sering disebut. Aku terdiam dan mula berfikir. Aku sepatutnya tidak mengganggu Hassan dan Adilah. Aku tahu memang Hassan dan Adilah lebih serasi jika dibandingkan dengan diriku. Aku seolah-olah tidak berpuas hati kerana aku mengenali Adilah lebih awal daripada Hassan, sebelum kami menjawat jawatan kami lagi. Tapi bolehkah alasan itu menjadi sandaran. Mungkin itulah silapku. Aku pentingkan diri. Dalam hal ini memang patut jika semua pihak yang mengetahuinya tanpa kompromi menghukumku.

Aku ke padang bola berdekatan untuk melihat satu perlawanan bola antara mahasiswa di kolej. Aku melihat Hassan duduk di bangku. Aku menghampirinya sambil memberi salam. Salam berbalas namun terukir di wajahnya senyuman yang agak hambar. Aku alihkan pandanganku ke padang bola. Tiba-tiba rakanku Junaidi datang. Junaidi merupakan antara pemain takraw yang hebat di kolejku dan belajar dalam jurusan perakaunan.

“Kau nakkan Adilah, sorilah brader, dia nak ker?”, kata Junaidi secara bersahaja kepada Hassan.

Pada waktu itu memang hangat diperkatakan oleh rakan-rakanku hubungan Hassan dan Adilah. Hassan tersenyum dan ketawa. Aku tahu dia terasa dengan kata-kata itu. Aku hanya terdiam.Hassan bangun dan menoleh kepadaku dengan cepat dan beredar dari situ. Aku tidak tahu apakah yang harus dilakukan. Dari jauh aku memerhatikan Rosli dan Hassan berjalan menuju ke asrama kami.Aku beredar sama ke asrama.
_ _ _

Entah mengapa aku tersebut soal Adilah di hadapan Hassan. Soal hasrat hatiku dulu. Hassan merenung tajam kepadaku. Tak mengapalah Hassan. Buatlah apa yang kau mahu. Aku yang salah Aku tunduk. Tak mampu untuk membalas pandangan itu. Hassan meluru keluar dan menutup pintu dengan kuat. Mungkin tanda protes kepadaku. Aku terduduk di kerusi tempatku belajar selalu. Aku bingung dan aku tak mampu untuk menahan asakan air mata yang ingin turun. Aku kalah. Di luar jendela awan tebal berarak diiringi gerimis petang. Adakah awan tumpang simpati?. Tika ini fikiranku terganggu. Ingatan berputar-putar kepada emak dan ayah di kampung.

Petang keesokannya, aku dan Rosli keluar makan di kantin. Hassan entah hilang ke mana. Kami rancak berbual dan aku mula jadi pendiam apabila Rosli membicarakan soal Adilah. Dan kemarahan Hassan semalam membuatkan aku ingin lari dari mendengar nama A-D-I-L-A-H. Aku biarkan Rosli berceloteh panjang sambil ketawa. Aku memerhatikan setiap butir bicaranya. Terselit sedikit nasihat yang terus aku pegang. Nilai persahabatan kita perlu diutamakan. Aku tahu Rosli juga serba salah membantu aku dalam hal ini. Seolah-olah dia membantuku mengkhianati Hassan. Tiap kali aku merenung Rosli, pasti air mukanya berubah.

. Aku menunjukkan mesej pesanan ringkas kepada Rosli.

Salam. Harap ustaz Din bersabar. Ana rasa belum tiba masanya ana memikirkan soal perkahwinan buat masa ini. Ana belum bersedia dan ana masih nak sambung belajar lagi. Wassalam.
Aku kebingungan. Spontan Rosli berkata,” Tak apalah tu. Anta masih muda lagi. Semoga berjaya”.

Sebenarnya Hassanlah yang menyampaikan maksud hatiku kepada Adilah. Hassan oh Hassan. Sungguh kasihan! Kau bersungguh-sungguh mengesyorkan aku pelbagai perkara yang harus dilakukan olehku. Maafkan aku Hassan. Kau berada dalam keadaan tidak bersemangat dan tidak terurus. Sabarlah!

Yang aku boleh harapkan pada masa itu ialah Rosli.Dia seringkali berurusan dengan pegawai hal ehwal pelajar kolej. Banyak masalah yang timbul dan diselesaikan dengan cara yang baik. Aku menghormati peribadi Rosli. Seorang pelajar yang berakhlak mulia dan pintar. Dia selalu mengajak aku solat di masjid dan memberikan nasihat yang baik. Aku harapkan masalah ini selesai. Aku tidak mahu Hassan bermasam muka denganku. Sepatah ditanya sepatah yang dijawab. Aku risau persahabatan antara kami selama ini bertukar menjadi permusuhan angkara soal hati dan sikap pentingkan diri. Aku juga terkeliru dan buntu.

Sedar atau tidak begitu cepat masa berlalu selama 3 tahun di kolej itu. Tahun 3 merupakan tahun terakhir kami sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Al Azhar, Mesir atau Jordan mahupun universiti tempatan yang ada kos agama. Aku berkira-kira hendak melanjutkan pengajian di Universiti Al Azhar. Begitu juga Rosli. Aku tak pasti destinasi Hassan. Tiada maklumat yang aku terima. Dia kini lebih berahsia denganku. Aku cuba merapatkan kembali perhubungan kami. Aku juga tidak tahu ke mana halatuju Adilah. Adilah seakan direhatkan seketika dari menjalankan tugasannya dalam persatuan.
Seminggu sebelum bertolak ke Mesir, di mana kami semua akan berpisah untuk menuntut ilmu, aku menuju ke bilik Rosli. Aku memberi salam dan mengetuk pintu biliknya. Pintu bilik terkuak. Rosli di depan pintu.

“Waaalaikumussalam. Eh Din, masuklah,” Rosli mempelawa aku masuk ke biliknya.
“Tak apalah. Ada privasi sikit. Anta sibuk ke sekarang? Ana nak cakap sesuatu dengan anta”.
“Masuklah! Tak ada orang lain. Ana seorang je. Ana tak sibuk pun. Marilah masuk!”.


Aku tak dapat mengukirkan kata-kata. Rosli ralit dengan komputernya. Dia sedang menaip sesuatu. Susah untuk aku mulakan perbualan itu, tapi aku cuba. Mujurlah dia masih lagi sudi mendengar apa sahaja yang aku bicarakan. Aku memohon ribuan kemaafan dan berharap dia dapat menjadi perantara bagi aku untuk merapatkan kembali hubungan aku dan Hassan. Dalam tempoh masa seminggu ini, kelibat Hassan tidak kelihatan di kolej. Hampir setiap hari pelajar berurusan dengan pihak kolej bagi menguruskan permohonan mereka ke luar negara. Dan dengar khabar Hassan lebih berminat untuk berkerja dari sambung belajar. Adilah pula berminat ke Mesir.

Saat yang ditunggu sudah tiba. Kami berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Mesir. Masa yang diambil sekitar sebelas jam perjalanan dan bumi para Anbiya’ itu menanti kami.
_ _ _

Mungkin juga kerana soal hati yang dah berkurun berlalu. Megapalah aku sering memutarkan kisah-kisah lama. Seringkali tersenyum dan serigkali juga air mata mengalir. Adakah kerana soal hati semata atau jauhnya hubungan kita sebagai sahabat. Aku berkira-kira, jikalaulah aku tidak beria-ia benar meminta Adilah, takkanlah semua ini terjadi. Mungkin Hassan kini lebih berbahagia dan persahabatan kami tidak menjadi suram dan sepi.

Hari ini 27 Januari 08 merupakan hari kenduri kesyukuran sempena perkahwinan Rosli dan Fatin. Akhirnya kahwin juga Rosli. Serasi seperti pinang dibelah dua. Sama pintar sama hebat. Bertuahnya Rosli dapat kahwin dengan seorang wanita yang warak dan rajin dalam persatuan. Semoga berbahagia hingga ke syurga. Sampai bila-bila.

Dari kejauhan aku memandang sepasang suami isteri sedang berjalan menuju ke rumah negeri ini sambil menolak kereta bayi. Aku tidak dapat meneka siapa mereka. Maklumlah jarang-jarang aku ke Kaherah. Bumi Zagazig seakan serasi denganku. Hendak buat macamana lagi kerana di situlah tempat aku berteduh.

“ Assalamualaikum. Din apa khabar? Lama tak bertemu. Sihat ke?”.

Aku sedikit terkejut. Wajah fadam ini seiras Hassan, rakan lamaku. Setahu aku Hassan bekerja di Malaysia dan tidak meyambung pengajian lagi.

“Hassan?”.
“Ya, ana Hassan. Takkan dah lupakan ana. Anta ni semakin hensem”.

Kami berpelukan. Gembira rasanya bertemu rakan yang lama terpisah. Kami ketawa. Hassan melepaskan pelukan dan memandang aku. Dia ingin memperkenalkan isteri dan anaknya.

“ Ini anak ana. Namanya Nurul Huda. Umur baru 7 bulan”.

Nurul Huda berkulit cerah dan persis bapanya bermata bulat dan hidung mancung.

“Dan…ini zaujah ana Adilah”.
Kata-katanya putus di situ. Aku senyum kepada Hassan. Aku juga sedikit terkejut tetapi itulah yang aku harapkan. Ya Allah. Engkau telah makbulkan doa hamba-Mu ini. Terima kasih Ya Rabb.

“Din apa khabar? Sihat ke?,” Adilah bertanya.
“Alhamdulillah sihat. Err…masuklah ke dalam. Nanti anak antum kesejukkan. Akhawat makan dalam dewan. Ikhwah makan di bilik bawah , di maktabah atau di bilik sebelah. Nak makan dekat kawasan luar pun boleh, tetapi agak sejuk sedikit”.

Aku membawa Hassan dan anak kecilnya ke maktabah. Seorang ajk akhawat membawa isterinya ke dewan. Dari perbualan kami barulah aku tahu Hassan menyambung pelajaran ke Jordan. Adilah pula pulang ke Malaysia setelah lima bulan berada di bumi Mesir. Aku tak pasti atas sebab apa dia pulang secara tiba-tiba. Hassan memberitahuku Adilah berangkat ke Jordan bersama-sama sepupunya untuk belajar di sana. Sudah ketentuan Ilahi, mereka bertemu jodoh di sana. Aku tersenyum mendengar cerita itu. Hatiku berasa lega. Sekurang-kurangnya aku tidak menyalahkan diriku sepanjang hayat ini. Mereka anak beranak datang ke Mesir untuk menyambung pengajian di peringkat M.A di Universiti Terbuka Amerika, Kaherah.

Hassan memandangku dengan penuh tanda tanya dan menanyakan aku tentang Soraya. Aku tersenyum sekali lagi dan memberitahunya Soraya sudah berkahwin. Dia terkejut dan beria-ia ingin membantuku mencari jodoh. Hatiku berdegup kencang. Aku belum bersedia lagipun aku masih mengaji. Sekarang masih di tahun 4. Berkahwin bermakna aku perlu menguruskan segala-galanya dengan cekap. Soal kewangan dan tanggungjawab selepas berkahwin adalah berat. Apa kata mak ayah di kampung pula.

Aku berkata kepadanya "Insya Allah gai..Ada jodoh tak ke mana. Kena buat persiapan dulu. Ilmu dan kewangan kena mantop. Mantop dan meletup Barulah akhawat berkenan”.

Aku mengacah-acah serikandinya yang kecil itu lantas dia ketawa. Aku dan Hassan ketawa sama. Mungkin geli hati.

-TAMAT-

Sedikit teladan:

1. Ambillah peluang masa muda untuk menuntut ilmu, sibukkan pemikiran dan hidup ini dengan pengajian dan perkara yang mendatangkan kebaikan kepada semua.

2. Jangan wujudkan soal hati dalam kehidupan persahabatan kita. Ianya akan melunturkan semangat persahabatan. Tanganilah dengan cara yang baik agar semua pihak memahami letak duduknya setiap diri masing-masing.

3. Katakanlah yang sebenarnya dan berilah nasihat kepada rakan-rakan anda semoga dia faham masalah dan tunjukkan jalan penyelesaian kepadanya.

4. Setiap manusia Allah S.W.T telah jadikan berpasang-pasangan.

5. Jangan mempercepatkan sesuatu perkara sebelum tiba waktunya, kerana disebabkan kita mempercepatkannya ianya akan menjadi haram atau tertegah kepada kita.

6. Hargailah persahabatan kita semua. Suburlah persahabatan kita dengan perkara yang baik seperti budaya saling nasihat menasihati antara satu sama lain, ziarah dan sebagainya.

7. Fikirlah yang positif terhadap diri sendiri. Janganlah bermurung dan bermuram durja. Hidup ini tidak lama. Berbekallah dengan kebaikkan dan menjauh serta mencegah kemungkaran.

Semoga terhibur. Mohon maaf andai ianya mengguris hatimu.

Copyright Reserve Naqiku.
© Ahmad Naqiuddin Bin Md Noor
Cinta dan Kita
30.1.09

No comments: