Tuesday, December 29, 2009

Sekadar Mencelah!

Assalamualaikum wrth. wbh.

Sekadar ingin mencelah dan meluahkan rasa hati yang terpendam. Maaf andai ianya mengguris hati saudara. Apabila Iman kita lemah kita mudah terdedah untuk melakukan dosa dan tatkala iman kita kuat kita bersemangat untuk beramal. Doakanlah moga kita termasuk dalam golongan Muhsinin, iaitu orang yang sentiasa memperbaiki diri untuk merebut Redha Ilahi.

Selama berada di bumi berkat ini, rasa malu juga untuk menyatakan sesuatu perkara. Namun ianya perlu sebagai renungan mahupun nasihat. Andai salah tafsiran mahupun gambaran ini, maafkanlah. Diri memerhatikan masyarakat sekitar (Mesir) khususnya para wanita sebahagiannya agak bebas dalam kehidupan. Dari segi gaya hidup dan sikap masyarakat terhadap mereka. Saya ingin tekankan dari segi berpakaian. Kebanyakan wanita Islam adalah menutup aurat. Namun segelintirnya pada perkiraan saya agak terlalu bebas dalam berpakaian. Ketat dan seumpanya. Wanita, mungkin golongan muda khususnya suka berseluar jeans dan baju ketat.Berwarna warni dan bergaya mungkin sesuai dengan panggilan Mesir Ummu Dunya ( Ibu Dunia).

Tidak dinafikan, bumi Zagazig khususnya para wanitanya agak cantik dan pemudanya agak segak berbanding dengan warga Mesir yang berasal dari wilayah lain di Mesir. Dikatakan warga Zagazig mempunyai keturunan dengan Nabi Yusuf A.S dan Siti Zulaikha. Dan tidak kurang juga hasil kacukan Orang Eropah yang pernah menjajah Mesir. Begitu juga berkenaan undang-undang setempat yang menjaga kebebasan wanita dan hak-hak mereka. Namun dalam hal yang bersangkutan dengan pakaian ini menjadi sesuatu pemandangan yang bersifat segan untuk memandang mereka yang berpakaian ketat dan sendat.

Terkadang gaya pemakaian yang keterlaluan mengundang perhatian masyarakat setempat. Moga Allah mengampuni dosa kita dan dosa mereka.Pun begitu ada juga warganya yang berpakaian sopan. Pakaian yang tidak sopan atau dianggap sensitif ini paling kurang pun, akan mengganggu pemikiran dan pemandangan. Mungkin juga ada hikmahnya mereka berpakaian sedemikian. Biarlah hidup ini ada sandaran dan sandaran kita adalah kepada agama kita kerana ada peraturannya yang tersendiri dari segi etika dan sebagainya. Kita disuruh untuk menutup aurat dan memperelokkan tutupannya.

Seruan untuk diri dan para sahabat agar dapat menjaga diri khususnya berkenaan pakaian. Bagi Muslimah tidak kira di mana saja berada, tuntutan agama adalah supaya berpakaian yang sopan dan menutup aurat. Khususnya di Mesir, seandainya ada rakan-rakan akhawat yang gemar berseluar jeans mahupun pakaian sendat, adalah dinasihatkan supaya berpakaianlah pakaian yang lebih sopan. Akhawat lebih maklum. Jika kita meniru gaya remaja wanita Mesir yang berseluar jeans dan berbaju ketat sebenarnya kita juga mengundang perhatian penduduk setempat dan pelbagai tafsiran diberikan yang bersifat negatif.

Agama itu Indah. Kita tidak rugi seandainya menegur dan ditegur. Tidak jatuh status sekiranya kita memperbaiki cara berpakaian, sopan, menutup aurat dan sedap mata memandang.Hikmah itu barang tinggalan orang Mukmin, ambillah di mana saja kamu jumpai. Semoga berjaya!

No comments: