Sunday, December 13, 2009

Sedetik Bersama di Bumi Kuda Putih.

Assalamualaikum. wrth. wbh.

Musim sejuk melatari bumi Mesir. Kian terasa dan kesihatan perlu dijaga agar sentiasa sihat dan cergas dalam menuntut ilmu. Waktu siangnya lebih pendek berbanding waktu malam. Dan pada ketika ini sudah pasti para sahabat sedang bertungkus-lumus membuat persiapan bagi menghadapi peperiksaan yang bakal tiba samada penghujung bulan 12 ini mahupun bulan Januari hadapan.

Dalam meneruskan perjuangan di bumi Zagazig ini pelbagai cabaran mahupun dugaan yang pasti sahabat temui. Bagi sahabat baru Azhar, kemungkinan keputusan peperiksaan kelayakan ke tahun satu sudah diumumkan. Kepada yang berjaya teruskan perjuangan anda, bagi yang sebaliknya pasti ada hikmah disebalik apa yang terjadi. Bersabarlah. anda juga perlu meneruskan perjuangan ini.

Berbalik kembali kepada pembelajaran. Waktu diatur dengan teliti untuk kehidupan seharian agar ianya stabil dan berjalan dengan sempurna. Kuliah masih lagi berbaki.Waktu yang masih ada dimanfaatkan sebaik mungkin. Muhasabah diri, diri kadang malas dan terkadang bersemangat untuk ke kuliah. Lawanlah kemalasan diri. Jangan menjadikan hujjah untuk tidak ke kelas apabila melihat ada kawan-kawan yang lain tidak ke kuliah. Kuliah perlu dan membaca buku pun perlu. Diri berasa malu apabila ada sahabat yang bertanya adakah diri ke kuliah pada hari tertentu sekiranya ada sahabat yang bertandang. Sekadar memberi peringatan dan muhasabah kepada diri.

Sahabatku, berilah nasihat kepadaku seandainya aku jauh dari kebenaran.
Dengan menyendiri aku tak ke mana.
Dengan tidak mempedulikan masyarakat dan nasihat aku tak ke mana.
Ibarat air yang bertakung.
Takut iannya membusuk dan tak berguna lagi.

Islam ada di mana-mana. Tegakkan Islam dalam diri kamu nescaya ianya akan tegak di sekeliling kamu. Bimbinglah diri, perbetulkan diri. Bentukkanlah diri supaya menjadi hamba yang bertaqwa. Mungkin ada salah dan silap, sikap mahupun sifat negatif yang masih bersarang dalam diri. Doalah semoga berubah dan diberi hidayat. Dengan membenci sahaja ianya tidak akan membawa kita ke mana-mana. Hidup ini perlu dihargai.Kebersamaan kesatuan mahupun mereka yang mengikat diri dengan Tuhan harus dilakukan segera. Sekurang-kurangnya tempias kesolehan mereka terkena kepada kita. Nasihat didengari. Pandangan direnungi selagi mana ianya tidak bercanggah dengan Allah dan Rasul.

Bersemangat untuk mencari kebahagiaan hidup bersama Allah dan Rasul. Mendisiplin diri. Mendidik hawa nafsu ke arah kebenaran.Sentiasa positif dalam kehidupan. Setiap dari kita pasti ada kelebihan dan kekurangan yang tersendiri. Bersyukur dengan setiap nimat yang diberikan. Memohon keampunan bagi kedua ibubapa, orang tua kita yang mendidik kita semenjak kecil lagi, guru-guru yang membimbing mengenal Allah dan Rasul, kawan-kawan yang setia ketika susah mahupun senang, tidak jemu memberikan kekuatan dan nasihat, yang sentiasa mendoakan agar diberi hidayah dan keberkatan hidup, yang menegur salah diri . Semoga ikatan yang ada ketika hidup kita hari ini menjadi ikatan yang membahagiakan ketika mana kita dibangkitkan dan bertemu Allah.

Berbahagialah mereka yang mencari kebahagiaan Allah ketika susah mahupun senang, ketika sendirian mahupun ketika ramai. Perjuangan harus diteruskan. Kejayaan sentiasa diidamkan dan tentulah melalui usaha , doa dan tawakkal penuh harapan kepada Allah.Kesilapan diri menjadi modal untuk berubah, kesedaran harus dipasak, menyedari diri kurang sempurna. Terimalah seadanya. Semoga diri berubah dan berada dalam kasih-sayang Allah. Islam itu indah. Hargailah kerana diri saya mahupun saudara adalah hamba Allah.

Sentiasa bermuhasabah diri dan mengenal diri. Hakikat diri adalah hamba-Nya. Selamat belajar. Kenalilah Islam ketika mana atau di mana jua anda berada. Temuilah hakikat diri dan kebenaran.Jadilah seumpama ikan, tidak masin ketika berada di lautan. Hanya masin apabila dimasinkan oleh kita. Ikan yang tidak terjejas oleh kemasinan laut. Islam yang mencorak suasana, dan bukan suasana yang mencorak Islam.

Salam motivasi.

No comments: