Assalamualaikum wrth wbh.
Berlabuh sudah sebuah kepimpinan mahasiswa semalam, 4.8.09 di Dewan Perwakilan Mahasiswa Zagazig. DPMZ sebagai sebuah persatuan dan kesatuan yang dibina untuk menyatukan anak-anak Malaysia di bumi Zagazig, di bawah naungan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir atau lebih dikenali PMRAM. Berlabuhnya tirai 08/09 tidak bermakna perjuangan mendaulatkan Islam terhenti begitu saja. Ianya akan disambung oleh mata ratai pemuda-pemuda yang akur dan pasrah pada amanah. Dan semestinya amanah ini adalah amat berat. Tetapi semua ini adalah untuk Islam.
MAT atau Mesyuarat Agung Tahunan yang ke-16 ini berlangsung dalam suasana yang tenang dan penuh muhasabah. Betapa pentingnya suatu kesatuan, kepimpinan dan kebersamaan ahli dalam menjayakan agenda ukhuwwah, kesatuan, kerjasama dan perpaduan. Hati Mahasiswa Islam Usuluddin, Bahasa Arab, Syariah dan Perubatan diletakkan dalam satu saf perjuangan. Mengetuk kesedaran para Mahasiswa Islam betapa pentingnya mereka bersatu di dalam kesatuan yang lurus dan benar.
Dua usul telah dikemukakan oleh ahli sidang yang perihatin berkenaan kelangsungan kita di bumi Zagazig. Usul pertama telah dibawa dan dituju kepada pihak persatuan untuk memperteguhkan kesatuan mahasiswa Azhar dan perubatan demi Islam.Manakala usul kedua berkaitan dengan kualiti dan integriti yang perlu ada oleh para mahasiswa Islam setelah mereka pulang ke Malaysia.Beberapa cadangan telah dibawa di dalam mesyuarat ini. Antaranya menekankan tentang kesatuan, ukhuwwah, keselamatan dan thaqafah yang perlu dicari oleh para mahasiswa bagi memastikan Islam tegak dijulang.
DPMZ sebagai badan mahasiswa diseru untuk bekerjasama dengan Organisasi Perubatan Zagazig bagi memastikan beberapa perkara penting dilaksanakan untuk kepentingan ahli-ahli di bumi Zagazig. Soal ukhuwwah, keselamatan, kerjasama, program dan agenda thaqafah diberi tumpuan. Semuanya ini adalah untuk Islam. Ukhuwwah sememangnya merupakan item utama dalam kebersamaan kita. Tanpa ukhuwwah hiduplah kita dalam suasana yang tidak sihat, berpecah-belah, dan hilang sikap untuk saling bantu membantu. Kita mudah menjadi tunggangan musuh yang suka melihat para mahasiswa hari ini hidup dalam suasana yang tidak harmoni dan berpuak-puak. Pihak musuh dengan mudah boleh mempergunakan kita bila-bila masa untuk mencapai matlamat mereka dan menjauhkan kita dari nikmat berukhuwwah dan berkasih-sayang demi Allah.
Perpecahan akan melambatkan kemenangan Islam. Begitu juga dalam soal keselamatan,sikap menjauhkan diri dari persatuan rasmi ini serta melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan undang-undang setempat, pasti menempah bahaya bukan kepada individu tertentu tetapi juga menggugat keselamatan kita semua. Sikap pentingkan diri dan tidak mahu bekerjasama amatlah dikesali dalam soal keselamatan ini.Pihak keamanan akan memberikan tekanan kepada kita sekiranya tidak mahu mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak persatuan. Dan ingatlah kita berada di negara orang.
Persatuan Mahasiswa Kuliyyah, DPMZ, dan perubatan, OPZ perlu berganding bahu dalam menjayakan agenda kesatuan kita, merapatkan ukhuwwah antara ahli kuliyyah dan perubatan. Kerjasama dalam bentuk pertukaran maklumat mahupun pengisian program ilmiah berkenaan ilmu kuliyyah mahupun perubatan harus diadakan dan perlulah disambut baik oleh para ahli yang rata-ratanya kita semua ini adalah penuntut.
No comments:
Post a Comment