Saturday, March 21, 2009

Indahnya Erti Sebuah Kesatuan.

Assalamualaikum wrth. wbh.

Termenung seketika mengenangkan abah, mama, mok dan keluarga di kampung. Tahun ini sudah memasuki tahun ketiga bermukim, menjadi perantau di bumi berkat. Negeri yang penuh dengan sejarah para Nabi. Nabi Musa dengan Firaunnya, Nabi Yusuf dengan kekacakannya, Nabi Ibrahim a.s dengan Siti Hajarnya dan tidak lupa para sahabat dan para wali yang beradu di bumi Mesir ini.

Kebiasaannya mesej menjadi perantara utama antara saya dan abah, mama , mok mahupun keluarga di kampung sekiranya evoiz tidak digunakan. Tetapi pada waktu ini voip juga boleh digunakan sebagai penghubung. Sekarang semakin mudah. Pernah seketika saluran evoiz sedikit bermasalah, ym bermasalah, risau dibuatnya. Maka smslah satu-satu cara. Mungkin lama tidak mendenger suara , abah menelefon terus dari Malaysia menggunakan henset. Mendengar suara abah, mama dan mok menjadi penguat semangat untuk meneruskan perjuangan di bumi Mesir ini. Terima kasih abah, mama, mok dan semua.

Kuliah di Tafahna sudah bermula. Pada tika ini kitab masih belum dimiliki. Pada hari Ahad lepas saya pergi ke maktabah kecil untuk membeli kitab. Mahasiswa tempatan berebut-rebut untuk membeli buku. Saya hanya memandang. Tidak sanggup untuk berebut. Diri ini dikira kerdil berbanding mereka.Siapalah diri ini untuk berebut sama. Seorang pelajar tempatan memerhati dan bertanya kepada saya, kitab apa yang ingin dibeli. Saya mengkhabarkan kitab untuk tahun tiga Syariah. Dia bertanya kumpulan mahasiswa tersebut. Nampaknya tiada respon. Saya memberitahunya tak mengapalah saya akan datang lain kali. Setelah itu saya singgah sebentar di rumah kawan di Tafahna. Lama juga singgah dari pagi sampailah selepas Asar barulah saya pulang ke Zagazig. Begitulah sedikit cerita diri di sini.

Segalanya bermula dengan perkataan satu. Kemudian boleh diubah-ubah. Boleh menjadi persatuan, kesatuan dan menyatukan. Walaupun maksud perkataan tersebut memiliki maksudnya tersendiri, asal perkataannya adalah satu. Kalau nombor, siapalah yang tak mahu dapat nombor satu.Sebenarnya susah nak bercerita bab kesatuan. Tapi, walaupun kita tidak berbicara soal kesatuan, kita dapat mengesan aura kesatuan. Cuba bayangkan kalau ada kawan kita yang tidak ngam dengan kawan lain. Apa perasaan anda. Adakah perasaan kurang senang akan terhasil atau kita menganggapnya itu perkara biasa. Atau sekiranya kita buat cara sendiri saja, tak peduli kepada orang lain, itu juga mengundang masalah.

Saya bukanlah layak untuk menghuraikan soal persatuan mahupun kesatuan. Tetapilah persatuan mahupun kesatuan yang ada hasil persatuan mahupun kebersamaan kita akan melahirkan satu kekuatan. Kekuatan dari sudut pembentukan diri, motivasi diri dan pelbagai ilmu yang kita akan dapat. Kawan pun ramai kita kenal. Walaupun diri penuh dengan seribu satu kelemahan, melalui kebersamaan dan kesatuan kita terdidik, termotivasi, ada kawan-kawan yang prihatin dengan kita dan kita juga perlu prihatin dengan orang lain.

Berada jauh di perantauan, kita sebenarnya perlu memastikan ilmu perlu dimiliki dan dihadami, kebajikan sesama kita terpelihara, sakit demam ada yang peduli dan begitu juga soal keselamatan kita di sini. Bumi Mesir sudah menjadi maklum dan tercatat dalam sejarah tercetus gerakan untuk mengembalikan Islam kepada tempatnya setelah kejatuhan Khilafah Uthmaniah. Bermula era 30-an hingga kini aura itu tetap ada. Saya berminat juga untuk mengetahui tentang mereka yang terlibat dalam kebangkitan Islam ini. Tetapi keselamatanlah yang menjadi halangan. Pihak keselamatan begitu bertegas dalam soal ini. Lihat ke era 40-an, 50-an ingat siapa Imam Hassan, Sayyid Qutb dan banyak lagi tokoh-tokoh Islam ini, mereka syahid, dibunuh dan digantung. Dan pengikut-pengikut mereka hingga kini menjadi buruan.

Saya rasa Mahasiswa Malaysia mahupun nusantara tidak ketinggalan mengikuti perkembangan ini. Kumpulan ini diberi nama I.M begitu berbahaya jika disebut di khalayak penduduk tempatan. Begitu juga di Mesir ini, begitu banyak perisik-perisiknya yang lebih berminat soal politik. Seringkali saya disuakan dengan persoalan Islam mahupun komentar terhadap Presiden mereka sendiri berbentuk kutukan, mungkin sekadar menguji. Saya hanya menjawab musy arif. Cukup bahaya.

Saya berharap agar kawan-kawan jagalah diri, patuhilah peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak persatuan kita, PMRAM, DPMZ, semoga kita semua selamat. Walaupun diri ada visa dan sebagainya, perasaan takut seringkali menyerbu, seolah-olah diperhatikan. Ketakutan bertambah ketika serbuan pihak polis bahagian kedua hampir dua atau tiga minggu lepas. Adalah diharapkan kita semua perlu akur, jagalah diri dan semua. Jangan disebabkan kita seorang, kawan-kawan yang lain susah nak bergerak. Hubungan dengan orang Arab khususnya bersangkutan I.M jauhkanlah. Pihak keselamatan begitu ligat dalam soal ini. Pandailah bergerak. Sekali lagi saya tegaskan berhati-hatilah.

Begitulah penting kesatuan kita semua. Jika berlaku perpecahan. Mu ikut mung aku ikut aku, jawabnya tak ke manalah kita.
.......
Seketika berfikir lagi. Dalam kekalutan memikirkan perkara yang besar-besar soal kesatuan. Mungkin soal persaudaraan kita sesama kita itu terlepas pandang atau dianggap kecil. Sedangkan yang kecil itulah bisa melumpuhkan. Ada kawan-kawan atau paling tidak ahli rumah yang kita tidak habis taaruf sepenuhnya. Hanya sekadar nama dan asal dari mana. Kita tidak tahu latar belakang mereka secara detail. Mak ayah, adik beradik mereka, adakah mereka orang yang senang atau susah, berhajat kepada bantuan ke atau tak dan sebagainya. Begitu juga kita belum menyelami sifat dan sikap mereka. Tidak dinafikan setiap manusia itu ada kelebihan dan kekurangan yang tersendiri. Setiap kelebihan dan kekurangan itu ada kebaikannya yang tersembunyi. Begitu juga kelemahan mahupun kelebihan yang ada pada diri sendiri. Kita perlu belajar untuk menerimanya. Moga kita menjadi hamba Allah yang bersyukur.

Pada waktu ini, merupakan waktu yang sesuai untuk melatih diri, mematangkan diri. Adakala kita melakukan sesuatu perkara atau ucapan kita yang mengguris hati kawan-kawan. Mereka patah hati dan ingin menjauhkan diri daripada kita. Maafkanlah kesilapan kawan-kawan kita. Boleh jadi kita kurang mengamalkan sikap saling nasihat-menasihati sesama kita. Agama itu kan nasihat. Persaudaraan yang terjalin kukuh pasti menatijahkan kekuatan. Orang yang gusar tentang kesatuan kita semua pun pasti berfikir beribu kali untuk membuat onar.

No comments: