Sunday, February 15, 2009

Cerpen Sayang Sahabat.

"Assalamualaikum", aku memberi salam dari luar sebuah apartment di Pandan Indah. Pintu ku ketuk setelah salam tak bersahut. Aku mencari-cari loceng untuk ditekan.
Belum sempat aku menekan loceng, pintu apartment yang sederhana itu terbuka. Syafiq muncul di hadapan aku.

"Waalaikumussalam. Lan rupanya. Ingatkan siapa tadi. Masuklah", Syafiq mempelawa aku masuk ke apartmentnya. Syafiq Bin Hamid merupakan rakan sekampungku. Hampir dua tahun dia bertapak di Pandan Indah. Seorang pengurus pemasaran syarikat komputer di Pandan Indah. Masih solo dan berusia sekitar 27 tahun. Kalau siapa berkenan bolehlah taqdim.

Sebenarnya aku sudah beberapa kali bertandang ke apartmentnya. Apartmentment yang sederhana tapi nampak mewah. Syafiq seorang yang agak rajin mengemas dan mencantikkan rumah. "Duduklah", katanya kepadaku. Aku mengambil tempat di sofa solonya.

Pada perancangan asal aku akan bekerja di syarikat yang sama dengan Syafiq. Memang sebegitulah hendaknya. Kerja sebenarnya ada, cuma perlu bergerak sedikit untuk mencarinya.Dan kalau jadi, minggu depan aku akan memulakan tugas baru aku sebagai juruteknik komputer di syarikat itu.

- - -

" Roslan Bin Badar, kamu telah sah menjadi sebahagian dari syarikat kami, iaitu syarikat Pandan Tech. Syarikat ini berfungsi sebagai salah satu syarikat yang menyediakan khidmat pemasaran komputer, pembaikan dan rangkaian internet. Jadi kamu lakukan lah yang terbaik untuk syarikat kita ini", Encik Shamsuddin Bin Bakar selaku Pengarah syarikat aku memberikan sedikit penerangan dan nasihat kepadaku.

Syarikat kami diketuai oleh En Shamsuddin sebagai Pengarah Syarikat atau bos besar kami,Syafiq selaku Pengurus Pemasaran syarikat, aku sebagai staf syarikat dan merangkap jurutekniknya. Staf yang lain ialah En Ghani Bin Mat, Fairuz Bin Roslan dan Helmi Bin Jusoh. Semuanya bagus-bagus belaka. Dan aku perlu memahami kerjaku di sini. Maklumlah orang baru. Tempat beroperasi pun baru. Ada beberapa keping kad dan sejambak bunga diletakkan di atas mejaku. Semuanya mengucapkan tahniah atas kerja baruku.
" Syukran", inilah kata yang ku ungkapkan kepada mereka. Hatiku berbunga. Baik sungguh mereka ini. Prihatin dan konsisten degan tugas. En Ghani walaupun berusia menghampiri separuh abad, masih aktif berkejar ke sana ke mari demi menjalankan tugasnya selaku promoter barangan komputer syarikat. Selain itu dia berusaha mencari tender bagi memasarkan komputer mahupun perkhidmatan internet kepada syarikat sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

En Fairuz dan Helmi bertugas sebagai pegawai pemasaran syarikat. Mereka berdua juga agak sibuk menguruskan bahagian pemasaran. Mereka berdua banyak membantu Syafiq.

- - -

Ketika tangan aku berlari-lari menekan kekunci komputer dan membelek fail-fail lama yang tersimpan di dalam usb, aku membuka satu fail yang mengandungi cebisan cerita suka dan duka kita ketika mana sama-sama belajar di Mesir..

Inilah cerita kita:

Assalamualaikum. Syafiq masih ingat lagi kenangan kita di Zagazig. Bandar yang penuh suka duka. Bandar yang dipenuhi kecantikan yang tersendiri. Dengan keayuan para gadisnya dan dengan lagendanya yang lama penuh sejarah dan kita juga merupakan sebahagian darinya. Ingat tak pertama kali kita bertemu. Kita pada waktu itu tak kenal antara satu sama lain. Tetapi mungkin itulah yang dinamakan sejarah dan pertemuan itu menatijahkan sebuah persahabatan. Aku bersyukur dapat mengenali insan sepertimu. Sebenarnya aku karam sebaik saja tiba di sini. Rasa kosong. Kawan jauh dan suasana baru. Agak terkial-kial untuk menerima semua ini. Namun didorong oleh sahabat-sahabat yang ada, aku gagahkan hati ini, redha dengan ketentuan Ilahi. Tempat baru itu kita jejaki. Memang benar kota Kaherah juga adalah baru untuk setiap mahasiswa/wi Malaysia. Dan penghijrahan ke bumi Zagazig itu telah menambahkan lagi pengalaman kita. Agak janggal buat sementara waktu tika berada di situ. Hati asyik teringatkan kampung halaman, kawan-kawan di Kaherah. Syafiq, kedai telefon yang berdekatan rumah sewa kita itu menjadi saksi seumpama aku berkasihan dengan telefon. Rindukan kawan dan hati berasa sunyi. Aku tidak tahu sistem perkhidmatan bayaran telefon di situ. Disebabkan aku tidak menunjukkan tempoh masa penggunaan telefon kepada pekedai, aku dicaj mengikut lama masa aku menggunakannya. Biarlah ianya menjadi kenangan.

Bersendirian bermakna segala perasaan sunyi, bosan dan tidak tahu berbuat apa hatta membaca buku sudah kita alaminya. Kenangan solat Subuh juga satu perkara yang menyentuh hati. Pada hari itu selesai subuh, aku menapak melepasi pasaraya Abu Hamad menuju ke kedai roti sebelahnya. Aku membeli roti fino sekitar segenih dua. Masih panas. Aku berjalan pulang sambil tangan didepakan supaya roti yang berada dalam plastic cepat sejuk. Hinggalah hampir sampai di jalan berhadapan kedai Habib, seorang ahli masjid memanggilku. Aku berhenti. Dia menyelak jubahnya dan mengeluarkan duit genih lalu menghulurkan kepadaku. Entah mengapa jika difikirkan mahu saja aku menangis. Aku tidak membelek duit tersebut sehinggalah sampai di bilikku. Terima kasih pakcik. Peristiwa itu menambahkan lagi kerinduan kepada keluarga dan kawan-kawan.

Masih teringat lagi Syafiq, ketika mana pertama kali kita ke kuliah di Tafahna. Musyrif yang ditugaskan untuk membawa kita ke Tafahna rupanya ada urusan imigresen di Mansurah pada hari itu. Mujurlah ada kawan Musyrif tadi sudi ke Tafahna. Dari Mauqaf Mansurah melalui teksi kita ke Mauqaf Tanta Baru. Berhenti tidak jauh dari tugu Firaun dan memasuki lorong tanah. Kita menaiki van yang digelar tremco menuju ke Mit Ghamr dan sudah semestinya ianya melalui Tafahna. Perjanannya memakan masa 30 minit, membuatkan aku mengantuk. Mungkin masih tidak sesuaikan diri dengan keadaan. Tambangnya cuma segenih serubu’. Dengan memerhatikan keadaan jarak masa dan keadaan tempat baru, tahulah aku mengapa sesetengah tidak ke kuliah tetapi tidak semestinya begitu, dan mengapa ada yang tidak berjaya. Aku diamuk kerisauan. Dan hari-hari seterusnya kita lalui mengikut kadar yang Allah tentukan.

Abah di kampung mengantar mesej pesanan ringkas kepadaku bertanyakan soal kuliah, adakah aku telah pergi. Aku teragak-agak. Lama aku merenung mesej yang abah kirim. Segera bertindak! Aku dengan penuh doa keluar dari pagar rumah sewa. Kita keluar ke jalan ingin menahan microbus dan mungkin Allah ingin membantu, kelihatan seorang pelajar Malaysia sedang menantikan kenderaan. Ketika ditanya mahu ke mana. Katanya ingin ke Kuliah Bahasa Arab di Universiti Azhar Zagazig. Kita ikuti dia. Katanya kita satu jalan. Dari situ kita naik microbus dan turun di tempat yang bernama Muhafazah. Sekali lagi kita perlu naik microbus atau tremco ke Salam Saidhnawi. Dia memang peramah dan murah senyuman. Katanya kita perlu cepat dan perlu rebut tremco yang sampai. Semua penuh macamana ni. Aku melihat dia berlari mengejar tremco yang bergerak perlahan. Dia naik dan mengarahkan kita naik cepat-cepat. Kau dan aku berlari mendapatkannya. Sendat. Kaki diletakkan berhati-hati sambil tangan memegang erat di tempat pemegang. Pengalaman baru. Ini bukan satu penderaan. Hendak buat macamana, waktu itu semua tremco macam sardin memunggah penduduk tempatan mahupun mahasiswa universiti.

Semoga Allah merahmati beliau kerana sudi tolong tunjukkan jalan ke kuliah. Sampai di Salam kami turun. Dalam tremco tadi kita bertemu seorang ustaz yang hendak ke Tafahna. Mujurlah. Salam perpisahan buat Ustaz Aizam yang menuju ke kuliah beliau. Ustaz tadi adalah ustaz K.L. Dialah yang membawa kita ke Tafahna.

Mungkin ini sebahagian dari cerita kita. Semoga kebahagiaan mewarnai setiap hamba-Nya.

No comments: