Assalamualaikum wrth wbh.
Semoga sahabat sekalian sihat sejahtera. Tulisan kali ini berkaitan dengan pilihanraya yang berlaku di dalam negara kita. Proses pilihanraya adalah sangat unik. Unik kerana rakyat yang menentukan dan memilih kerajaan yang akan mentadbir sesuatu kawasan, negeri mahupun negara.
Dan semestinya akan lahir pelbagai parti politik yang memiliki gagasan dan manifesto yang tersendiri. Dan proses demokrasi seperti ini bersifat bebas dan terkawal. Dengan berlatar belakangkan nilai timur dan sikap berbudi pekerti mulia, sudah pasti proses demokrasi perlu berada pada landasannya yang benar.
Matlamat pilihanraya perlulah jelas di hati dan minda. Mengapa perlu ada pilihanraya dan mengapakah kita mengundi? Dan apakah kesan pilihan rakyat dan pengaruh rakyat terhadap undi yang mereka berikan kepada mana-mana parti yang bertanding?
Rakyat bebas memilih mana-mana parti yang mereka inginkan. Pilihan mereka bukan kerana terpaksa dan dipaksa atau dipengaruhi oleh elemen yang salah yang mencacatkan erti demokrasi sendiri. Mereka amat memerlukan kerajaan yang dapat memberikan keamanan dan kesejahteraan kepada masyarakat.
Tepuk dada dan tanyalah iman dalam hati. Apakah tindakan kita benar. Sebagai contoh kempen atau propaganda yang dilakukan untuk meraih sokongan atau undi. Janganlah sampai ianya merosakkan keharmonian yang ingin dicapai. Kita mengundi untuk memilih kerajaan dan tugas kerajaan adalah mentadbir negara dengan baik.
Rakyat yang tidak memilih satu-satu parti tidak boleh dianggap musuh dan dinafikan hak dalam negara. Parti yang menang perlu menjadi kerajaan yang benar dan adil kepada semua rakyat, tanpa mengira mereka undi parti itu atau tidak.
Demokrasi bukan sekadar slogan. Bukan juga sebagai mainan dijual beli sesuka rasa. Pilihanraya adalah tanggungjawab. Memang tugas mana-mana parti yang menang membentuk kerajaan dan mentadbir dengan baik. Hak rakyat melalui parti yang menang tidak boleh dinafikan. Melemahkan sebuah kerajaan atau parti yang menang yang berlainan idealogi dengan menyekat bantuan kewangan rakyat tidak termasuk di bawah tajuk demokrasi.
Wang sesebuah negara juga bukan menjadi milik parti yang menang dan menjadi hadiah buat ahli parti yang menyokong gagasan yang dibawa. Adillah dalam kehidupan dunia ini. Saya percaya penyokong dan pemimpin sesebuah parti walaupun berbeza fahaman mereka solat lima waktu sehari semalam, mengadap ke Kaabah, menyembah Allah. Bukan sikap merosakkan demokrasi by hook or by crook. Menanglah untuk mencipta kebahagiaan Hari Akhirat, bukan menang di dunia dan sengsara di Akhirat. Sekurang-kurangnya menanglah dengan cara terhormat. Pulihkan demokrasi dan keharmonian masyarakat jika benar ingin bersatu.
No comments:
Post a Comment